KUALA LUMPUR 11 Julai 2009 – Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuat 11 pengumuman ‘mesra rakyat’ sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri, antaranya diskaun jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah serta tabung unit amanah baru untuk rakyat semua kaum.

Berucap pada majlis ‘100 Hari Najib Bersama Rakyat’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Perdana Menteri berkata, untuk meringankan beban pengguna kad prabayar Smart Tag dan Touch ‘n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak diberi diskaun 20 peratus.

Katanya, beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang terpaksa membayar tol lebih kurang RM 300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri: “Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.”

“Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan kepada rakyat terutama yang menggunakan jalan tol setiap hari,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu.

Terima kasih banyak-banyak YAB Perdana Menteri atas 11 hadiah sempena 100 hari YAB PM menjadi Perdana Menteri. Saya amat bersyukur kerana hadiah tersebut amat bermakna bagi kami rakyat Malaysia. Syukur alhamdulillah.