Membongkar Dakwaan Pihak Tertentu Kononnya Tiada Pemimpin UMNO Terlibat Dalam Perjuangan Menentang Penjajah

Ramai yang tak tahu sejarah penjajahan Inggeris (kini digelar British) di Tanah Melayu, ramai kalangan buta sejarah menerima bulat-bulat fakta palsu yang mengatakan pemimpin UMNO dahulu membiarkan Inggeris menjajah Tanah Melayu, tak kurang juga yang memesongkan fakta dengan mengatakan tiada seorang pemimpin UMNO terlibat dalam penentangan terhadap Inggeris…

Kalangan mereka yang menerima bulat-bulat fakta palsu ini adalah dari kalangan anak muda yang gagal dalam mata pelajaran Sejarah ataupun mengambil mata pelajaran tersebut secara terpaksa tanpa memahami dengan teliti fakta sebenar tentang sejarah penentangan terhadap penjajahan Inggeris. Di sini eXception akan bongkar kisah sebenar bagaimana bermulanya penentangan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan siapakah watak-watak penting disebalik penentangan ini.

Penjajahan di Tanah Melayu telah bermula sejak tahun 1511 di mana sejak zaman kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada penjajah Portugis. Apakah niat sebenar Portugis ini menjajah Tanah Melayu? Tujuan Portugis adalah bersifat serampang tiga mata iaitu menguasai Melaka yang maju sebagai pusat perdagangan serantau, melebarkan pengaruh ke asia tenggara dan menyebarkan fahaman Kristian. Kemudian Tanah Melayu dijajah oleh Belanda selepas Portugis dan seterusnya Inggeris…

Zaman penjajahan Inggeris telah berlaku sejak tahun 1867 lagi, ketika itu tidak lagi wujud UMNO mahupun PAS… Jadi tak wujud fakta yang mengatakan pemimpin UMNO membenarkan Inggeris masuk ke Tanah Melayu… Semua itu adalah BOHONG!! Dari tahun ke tahun Inggeris meluaskan pengaruhnya dan mengamalkan corak pemerintahan kolonial. Ramai kalangan orang melayu tidak berpuas hati dengan Inggeris kerana memeras dan mengenakan cukai yang tidak munasabah terhadap penduduk Tanah Melayu dan membangkitkan pemberontakan sekitar tahun 1786.

Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan seperti Penghulu Dol Said di Naning, Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti dan Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Raja Mahadi di Selangor, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap, Rosli Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.

Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung. Ingin dimaklumkan juga pada waktu itu UMNO masih belum wujud, apa lagi PAS… Jadi bohonglah jika ada yang mengatakan pemimpin UMNO tidak terlibat dalam perjuangan dalam gelombang pertama ini, kerana UMNO masih belum wujud ketika ini.


Tok Gajah


Datuk Bahaman


Mat Kilau


Mat Salleh


Rentap

Kemudian penjajahan Jepun telah memaksa British berundur dari Tanah Melayu. Sebelum penjajahan Jepun bermula, penduduk Tanah Melayu terpesona dengan slogan Jepun iaitu ‘Asia Untuk Orang Asia’ yang menyebabkan ramai yang membantu Jepun memasuki Tanah Melayu dengan harapan pemerintahan Jepun adalah lebih baik dari pemerintahan British.

Akan tetapi, ibarat keluar dari mulut harimau, terjun ke dalam mulut buaya, pemerintahan Jepun yang disangkakan baik, rupanya lebih teruk dari Inggeris. Makanan terpaksa dicatu. Beras menjadi mahal dan sukar didapati. Pemerintahan Jepun yang bersifat kuku besi ini sedikit sebanyak membangkitkan penentangan maka tertubuhlah MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army). MPAJA menggunakan cara perang gerila dalam memerangi tentera Jepun. Selama 3 tahun lebih era pemerintahan Jepun, akhirnya Jepun menyerah kalah dan berundur dari Malaya.

Sewaktu kekosongan yang ditinggalkan pentadbiran Tentera Jepun di Malaya, keadaan Malaya menjadi kucar-kacir apabila sebilangan ahli MPAJA bertindak masuk ke hutan lalu menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM) dan bertindak untuk menubuhkan Negara Komunis di Malaya.

British yang kembali memerintah Malaya sedaya-upaya memerangi PKM. Keadaan darurat ketika itu menyaksikan banyak tragedi berdarah angkara Komunis terutamanya Peristiwa Bukit Kepong yang mana ramai anggota keselamatan yang berjuang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong telah terkorban diserang hendap oleh Komunis.

Setelah komunis berundur dan darurat di tarik balik, keadaan Malaya ketika itu kembali tenang. Kemudian ramai anak muda melayu mula sedar dan bangkit menentang British. Maka tertubuhlah Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berhaluan sosialis, Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan lain-lain. Akan tetapi semua parti tersebut diharamkan oleh British pada tahun 1948 kerana banyak menimbulkan kekacauan.


Ahmad Boestaman


Burhanuddin Helmi


Shamsiah Fakeh

Tahun 1946 hasil inisiatif Dato’ Onn Jaafar dengan hasil kesepakatan orang melayu, maka tertubuhlah Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) sekarang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dato’ Onn Jaafar bersepakat bersama orang melayu serta Raja-Raja Melayu untuk memulaukan Majlis Pelancaran Malayan Union.

Dato’ Onn mahu semua penduduk Tanah Melayu menentang Malayan Union dan bertemu dengan Raja-Raja Melayu bagi meraih sokongan terhadap penentangan terhadap Malayan Union. UMNO telah bersatu dengan MIC dan MCA atas inisiatif Dato’ Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menuntut kemerdekaan Malaya. Tunku Abdul Rahman akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan Malaya selepas hasil pertemuan dengan Ratu Elizabeth. Maka Tanah Melayu atau Malaya diisytiharkan Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.


Penentangan terhadap Malayan Union


Penentangan terhadap Malayan Union

Siapa kata tiada pemimpin UMNO yang terlibat dalam penentangan terhadap British? Perjuangan UMNO agak berbeza dengan perjuangan API, AWAS, PUTERA dan lain-lain. Ini kerana UMNO mempunyai pemimpin yang berpandangan jauh dan melakukan penentangan secara halus bukan secara memberontak dan mengangkat senjata. Ternyata kebijaksanaan Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman berjaya membebaskan Tanah Melayu. Jika diikutkan ramai lagi nama-nama pemimpin UMNO yang berjuang menentang British antaranya termasuklah Tun Dr Ismail, Sardon Jubir, Tun Abdul Razak Hussein, Datuk Syed Jaafar Albar dan lain-lain…

Siapa kata untuk mendapatkan kemerdekaan Malaysia ni mudah? Jika mudah, mengapa selama lebih 400 tahun dijajah baru kita boleh mencapai kemerdekaan? Jika mudah, mengapa banyak pejuang yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu? Berapa banyak air mata yang mengalir dek kerana derita yang ditanggung nenek moyang kita menempuhi darurat semasa era penjajahan? Jika tidak wujud Dato’ Onn Jaafar maka sehingga kini kita masih lagi dijajah… Beliaulah yang menjadi pencetus idea membebaskan Malaya dari cengkaman British yang kemudiannya perjuangan tersebut diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman. Adakah itu masih belum dikira perjuangan? Adakah dengan mengangkat senjata, merusuh, memberontak dan menumpahkan darah baru dinamakan perjuangan?