Apa beza DAP dengan Salman Rushdie, pelukis karikatur Nabi?

KUALA LUMPUR 13 Ogos – “Apa bezanya DAP dengan Salman Rushdie dan pelukis karikatur Nabi Muhammad S.A.W sehingga ahli parti tersebut dibenarkan menghina agama Islam?”

Demikian soal bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang berang dengan sikap ‘semua boleh’ Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk dalam aspek menghina kesucian Islam oleh penganut agama lain.

Katanya,, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang tidak mahu membantah tindak-tanduk pemimpin DAP dengan alasan parti tersebut bukan Islam dan kefahaman mereka terhadap agama suci itu tidak mendalam adalah alasan yang terlalu rapuh.

“Apa istimewanya DAP di mata Pas dan Nik Abdul Aziz sedangkan Salman diburu dan nyawanya difatwakan halal dibunuh kerana menghina al-Quran.

“Karikatur Nabi Muhammad pula menyebabkan seluruh umat Islam bangkit menentang termasuk ahli Pas. Mereka juga bukan Islam dan tidak mempunyai pemahaman yang mendalam tentang Islam,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula kecewa dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang membiarkan segelintir pemimpin DAP menghina Islam dan menyifatkan kenyataan itu sebagai meragukan.

“Saya terkejut membaca kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa orang bukan Islam boleh menghina Islam apatah lagi kenyataan itu dibuat oleh seorang pemimpin parti yang berlabelkan Islam dan mendakwa memperjuangkan Islam.

“Setahu saya orang Islam tidak boleh menghina orang bukan Islam dan orang bukan Islam tidak boleh menghina Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setidak-tidaknya Nik Abdul Aziz perlu menegur pemimpin DAP jika beliau benar-benar mahu menjaga kesucian Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menegaskan, semua pihak harus sedar bahawa perbuatan seperti itu bukan setakat menghina individu tertentu, tetapi ia sebenarnya menghina Allah.

“Dalam konteks hubungan antara agama, kita tidak dibenarkan membuat penghinaan. Oleh itu, jika berlaku penghinaan terhadap Islam, kita wajib mempertahankannya kerana yang dihina itu bukan setakat individu tertentu, tetapi adalah Allah,”

Sementara itu di Melaka, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar berkata, Pas sebagai parti yang memperjuangkan syiar Islam di negara ini sepatutnya lebih ke hadapan dalam memerangi pihak yang menghina Islam.

“Kenyataan Nik Abdul Aziz itu seolah-olah menunjukkan beliau mahu menggadai agama Islam demi kepentingan mereka termasuk mengatakan orang bukan Islam boleh menghina Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan jentera membajak dan menuai kepada pesawah di Kampung Parit Penghulu Benteng di sini hari ini.

Selain itu, katanya lagi, Mursyidul Am Pas tersebut sepatutnya memahami perbuatan DAP yang jelas menghina agama Islam sekali gus bertentangan dengan hak kebebasan beragama di negara ini.

“Dalam hak kebebasan beragama, kita dilarang untuk mengatakan perkara yang tidak baik dan tidak sesuai tentang agama lain.

“Saya hairan bagaimana Nik Abdul Aziz boleh membuat kenyataan itu, malah beliau juga pernah menyatakan sejak Pas dan DAP berkawan, DAP boleh membawa al-Quran dan untuk itu, mereka sudah memahami Islam,” katanya.

-Utusan Malaysia

Kepada ajijasin, harap anda berpuas hati dgn kenyataan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini…

Advertisements