Oleh Lebah Kota

Apakah orang-orang Melayu dalam Pas bersedia untuk mengorbankan hak keistimewaan Melayu jika kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan suatu hari nanti?

Tidak perlulah berpura-pura kerana orang-orang Melayu dalam Pas pun selama ini menumpang tuah yang banyak dari hak keistimewaan Melayu di negara ini.

Semua tahu bahawa anak-anak orang Pas pun selama ini menumpang tuah.

Bukan sikit, tetapi untuk sekian lamanya dan sekian ramainya anak-anak penyokong Pas yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara atas kelebihan hak keistimewaan Melayu di negara ini.

Yang belajar di IPT tempatan pun sama juga.

Ada ramai juga penyokong Pas yang diberikan peluang menjadi peneroka di Felda-felda seluruh negara.

Sebenarnya, pelbagai kelebihan orang Melayu selama ini dinikmati bersama Melayu dalam UMNO dan Melayu dalam Pas.

Banyak lagi keistimewaan lain yang turut diterima seperti membeli rumah pada harga bumiputera dan sebagainya.

Namun, ketika ini Pas berkerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

DAP kiblat perjuangannya adalah bersandarkan gagasan Malaysian Malaysia, yakni hak sama rata untuk semua penduduk di negara ini.

Jadi, kalau kedua pihak ini hendak membentuk kerajaan suatu hari nanti, maka apakah DAP akan menerima kerajaan yang masih memberikan hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu?

Itu bertentangan sepenuhnya dengan gagasan perjuangan parti itu. Jangan kita lupa kenyataan pemimpin DAP “langkah mayat saya dulu” dalam hal pembentukan negara Islam ini.

Penentangan terhadap penubuhan negara Islam sangat menebal dalam DAP.

Jika sebuah kerajaan di bawah Pakatan Rakyat hendak diwujudkan, maka salah satu pihak, sama ada PAS atau DAP perlu menipu penyokong masing-masing suatu hari nanti.

Kalau Pas berkata hak keistimewaan Melayu sudah tidak penting, penulis sebagai rakyat yang kerdil ini ingin mencabar mereka agar tampil menyatakan perkara itu secara terbuka dan jelas.

Katakan “Orang Melayu tidak lagi memerlukan keistimewaan di negara ini”.

Dan kalau itu benar, maka penyokong-penyokong Pas perlu berhenti menggunakan segala kelebihan yang ada di bawah hak keistimewaan Melayu bermula dari sekarang juga!

Jika Pas berkata hak keistimewaan Melayu itu perlu kekal, maka siapa yang akan menipu penyokong siapa pada masa akan datang jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan?

Jika hak keistimewaan Melayu tidak dihapuskan, maka DAP menipu penyokong mereka.

Jika hak itu dihapuskan pula, apakah tidak Pas bakal mengkhianati orang Melayu di negara ini kelak?

Rasanya majoriti orang Melayu, termasuk penyokong-penyokong Pas sendiri masih mahukan hak keistimewaan Melayu itu dipertahankan.

Bukan sesuatu yang terlampau bila hak itu diminta untuk dipertahankan, kerana ia bukan diterima orang Melayu secara suka-suka, tetapi melalui satu pengorbanan yang besar apabila membenarkan kaum pendatang Cina dan India di negara ini diberikan hak kerakyatan.

Dan dalam hal ini, pendapat PKR tidak penting untuk kita utarakan kerana ada hak atau tidak, yang penting pemimpin mereka dapat menjadi Perdana Menteri, sudahlah.

Sebab itu Anwar Ibrahim depan orang Melayu cakap lain, depan orang Cina dan India cakap lain.

Lagipun, kalau ikutkan cara Anwar, hampir pasti hak keistimewaan Melayu akan dihapuskan. Kalau 2 lawan 1, rasanya Pas pun tidak boleh berbuat apa-apa lagi dah nanti.

Jadi persoalan sekarang, kerajaan Pakatan Rakyat kelak jika ditubuhkan, siapa tipu siapa, siapa khianati siapa?

Adakah DAP akan menipu penyokong mereka, atau Pas akan mengkhianati Melayu?

Mengubah sedikit haluan rencana ini, Lebah Kota ingin berkata bahawa dalam konteks kerajaan perpaduan yang sedang diperkatakan sekarang, rasanya adalah lebih baik sekiranya Pas menukar kapal, yakni berpindahlah kepada UMNO dan BN berbanding berjuang dalam Pakatan Rakyat.

Dengan cara ini sekurangnya, Pas dapat bersama membentuk kerajaan dan ia tidak perlu mengkhianati sesiapa. Hak keistimewaan Melayu akan dapat dikekalkan, malah tanpa DAP, mungkin lebih banyak lagi aspek-aspek keislaman akan dapat diserap masuk ke dalam pentadbiran kerajaan.

Jangan lupa, ahli-ahli UMNO pun orang-orang Melayu beragama Islam juga.

Mereka pun sayangkan agama mereka dan pasti mahu melihat lebih banyak tempat untuk Islam dalam pentadbiran negara.

Dan kalau Pas kekal dalam Pakatan Rakyat, maka hampir pasti ia perlu menikam bangsanya sendiri dari belakang suatu hari nanti.

Dan rasanya Tuan Guru Abdul Hadi Awang pun tahu apakah dilema yang bakal dihadapi partinya jika mereka terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Sebab itu beliau tampil dengan idea kerajaan perpaduan yang gagal difahami sebahagian besar ahli-ahli Pas sendiri.

Apa pun, fikir-fikirkanlah…

Sumber: http://www.malaysia-instinct.com