GEORGETOWN – Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan ‘orang dalam’ berhubung penyeludupan pil eramin 5 bernilai RM20 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Sungai Dua di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kesemua pil khayal berkenaan dibawa masuk melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) dari Taiwan tanpa sebarang masalah.

“Walaupun tangkapan dilakukan di tempat lain iaitu ketika mereka memunggah barang dari lori di di Sungai Dua, polis masih menyiasat bagaimana kargo ini berjaya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Bayan Lepas.

“Kita mahu mengenal pasti sama ada terdapat syarikat atau ‘orang dalam’ di LTAB yang bersubahat dengan sindiket ini memandangkan ia diseludup melalui lapangan terbang itu dari Taiwan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ antara 13 ditahan berhubung penemuan sejuta biji pil khayal itu dalam serbuan di gudang terbabit.

Tujuh daripadanya termasuk ‘Datuk’ itu direman selama seminggu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori manakala enam lagi di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membolehkan mereka ditahan sehingga 60 hari.

Beliau berkata, rampasan itu adalah kejayaan terbesar polis di Pulau Pinang setakat ini hasil risikan dan kemahiran teknikal serta kerjasama orang ramai yang semakin menggalakkan.

Turut dirampas pelbagai barangan yang bernilai kira-kira RM3.5 juta iaitu wang tunai RM558,013, peralatan elektrik (RM30,000), 10 kenderaan (RM1.97 juta), barang kemas (RM218,453) dan enam jam berjenama (RM741,000).

Ayub berkata, siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan dan pengedaran pil berkenaan mempunyai rangkaian di beberapa negeri lain dan aktif sejak setahun lepas.

“Terima kasih kepada polis Taiwan yang menyalurkan maklumat kepada kita sehingga berjaya merampas pil berkenaan di gudang yang dipercayai dijadikan tempat pemunggahan serta penyimpanan stok dadah itu,” katanya.

Katanya, polis percaya pil yang dijual dengan harga RM20 sebiji itu untuk pasaran dalam negara.

Sehubungan itu, polis Pulau Pinang akan terus meningkatkan usaha bagi melumpuhkan kegiatan itu serta mengurangkan bekalan dadah yang dibawa masuk ke negeri ini serta penagihnya.

Selain itu, ia mewujudkan empat pasukan khas untuk membanteras aktiviti judi, maksiat, ah long dan cakera padat video (VCD) bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk didiami.

Agak-agak siapa orang dalam itu ya? Adakah orang dalam kerajaan negeri sendiri?
So Lim Guan Eng, apa komen anda?