Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Pepatah Melayu menyebut “melentur buluh biarlah dari rebung” bermaksud jika mahu mendidik seorang anak sebaiknya ia hendahlah bermula sedari kecil.

Namun insiden di tengah ibu kota pada Sabtu lalu, yang menyaksikan kanak-kanak dan remaja terlibat dalam satu perhimpunan haram didalangi parti-parti politik menimbulkan persoalan apakah bentuk didikan yang ingin diterap oleh mereka yang berkenaan itu.

Berpegang pada alasan perhimpunan dirancang secara aman, penganjur dan mereka yang menyokongnya mungkin berpendapat tidak salah mengheret anak-anak di tengah panas terik matahari untuk tujuan itu.

Ia acara santai, hujah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang juga antara orang kuat dalam menganjurkan perarakan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu ketika diminta mengulas rasional melibatkan kanak-kanak dan remaja dalam protes jalanan tersebut.

“Seperti apa yang telah saya sebutkan banyak kali, perhimpunan yang kita anjurkan sebelum ini adalah satu perhimpunan yang aman, (untuk) bersantai dan memang saya banyak kali menyatakan boleh bawa anak-anak dan isteri kita bersama-sama,” katanya.

Malah, menurut Salahuddin, mereka merancang untuk bersurai selepas satu jam berhimpun.

Sekalipun mengakui peserta perhimpunan haram berisiko disembur air dan dilontar gas pemedih mata, Salahuddin berkata insiden pada hari berkenaan berpunca daripada pihak polis yang tidak mahu memberi kerjasama kepada mereka.

“Bukan kami tak tahu risiko, tapi kami ada niat nak berhimpun secara aman. Kalau kami ada niat tak baik buat apa kami nak isytiharkan rancangan kami,” katanya.

Ironinya itulah yang berlaku pada Sabtu lalu apabila pihak polis yang sebelum ini berulang kali meminta penganjur membatalkan perhimpunan, bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menyembur air selepas keadaan menjadi tidak terkawal.

Lebih buruk lagi apabila segelintir mereka yang ditahan polis kerana menyertai perhimpunan haram itu adalah kanak-kanak dan remaja, sekali gus memberi ruang kepada parti politik yang mendalangi protes untuk terus mengecam pihak berkuasa.

Bagi pemerhati politik pula, protes jalanan menggunakan “perisai kanak-kanak” itu adalah taktik pengecut tetapi berkesan untuk menarik perhatian masyarakat.

“Taktik ini bukan suatu yang asing. Dulu Hindraf pun buat macam ini. Penggunaan kanak-kanak ini efektif sebab secara automatik meletakkan pihak berkuasa dalam keadaan serba salah untuk mengambil tindakan secara fizikal,” kata Asri Salleh, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara kampus Dungun, Terengganu.

Beliau berpendapat tindakan membabitkan kanak-kanak dalam isu yang diperjuangkan lebih mudah mendapatkan simpati umum.

“Memang tidak wajar sama sekali mereka membabitkan kanak-kanak sebab mereka tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Tetapi kini ia sudah menjadi trend.

“Kita faham ada yang terbabit dalam perhimpunan itu adalah keluarga kepada mereka yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi wajarkah meletakkan anak-anak dalam keadaan bahaya seperti itu,” katanya.

Atau, kata Asri, parti pembangkang melihat kanak-kanak itu sebagai “collateral damage” iaitu korban sampingan demi mencapai agenda mereka.

“Pada mereka walaupun keselamatan kanak-kanak dan remaja itu terjejas, ia tidak sampai mengorbankan nyawa jadi halallah apa yang mereka lakukan,” katanya.

Persoalannya jika benar pembangkang mahu menjadikan golongan lemah seperti kanak-kanak sebagai korban sampingan, tidakkah mereka terfikir kesan psikologi yang dialami oleh golongan itu.

Pakar perunding psikologi dari Malaysian Psychology Centre Dr Edward Chan berkata pengalaman ditahan polis boleh meninggalkan kesan mendalam kepada kanak-kanak dan remaja berkenaan.

“Ini akan menjadi satu trauma kerana mereka akan merasa tertekan seolah-olah keselamatan dan kebebasan mereka terancam,” katanya.

Chan berkata kanak-kanak yang melihat demonstrasi jalanan seperti yang berlaku pada Sabtu lepas akan juga dibayangi igauan.

“Lebih buruk lagi jika mereka melihat sendiri perlakuan ganas dalam satu-satu demonstrasi,” katanya.

Akibatnya, kata Chan, kanak-kanak ini akan membesar dengan pemikiran yang negatif terhadap pihak berkuasa dan juga terhadap kerajaan jika sesuatu isu itu tidak dijelaskan dengan baik kepada mereka.

Bersetuju dengan pandangan pakar psikologi itu, pemerhati politik menyimpulkan bahawa tindakan parti pembangkang berhubung perkara itu boleh merosakkan masa depan kanak-kanak dan remaja.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia berkata: “Ini strategi murahan yang tidak membawa sebarang makna. Mereka gunakan kanak-kanak dan apabila kanak-kanak ini cedera terkena gas pemedih mata, kena tangkap, mereka (parti pembangkang) salahkan polis.

“Soalnya siapa yang membawa anak-anak ini mengikuti satu perhimpunan yang tidak dibenarkan?”

Sememangnya pengorbanan yang dilakukan golongan kanak-kanak dan remaja itu tidak membawa makna besar khususnya dalam konteks tujuan perhimpunan haram itu diadakan iaitu menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi mendesak agar ISA dimansuhkan.

Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada April lalu telahpun bersetuju untuk meneliti semula akta itu yang didakwa golongan anti-ISA sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia.

Namun jika hak asasi manusia menjadi isu yang diperjuangkan mereka, bagaimana pula dengan hak asasi kanak-kanak dan remaja itu yang turut diseret dalam kancah permainan politik orang dewasa?

Sumber: Bernama

Kepada SUHAKAM, tolong ambil tindakan terhadap Pakatan Rakyat. Jangan campur adukkan soal politik dengan soal hak asasi manusia. PR mempergunakan kanak-kanak yang tak tahu apa-apa sebagai alat mencapai agenda politik sempit mereka. Jika SUHAKAM masih membisu dan salahkan Polis. Kami Blogger Pembela Negara mencabar agar bubarkan sahaja SUHAKAM….

Advertisements