Rumah dipecah masuk, Exco Selangor rugi RM70,000

KLANG 8 Nov. – Seorang exco kerajaan negeri Selangor kerugian lebih RM70,000 selain hilang sebuah peti besi yang mengandungi barangan berharga, selepas rumahnya di Taman Klang Jaya di sini dimasuki pencuri, tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata beliau percaya kejadian itu berlaku antara 12.30 tengah hari dan 3.30 petang, ketika semua anggota keluarganya tidak berada di rumah.

“Kejadian disedari oleh anak lelaki saya, Dev Arul yang pulang dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang, apabila melihat keadaan empat bilik yang berselerak dengan semua laci meja terbuka dan peti besi hilang.

“Beliau kemudian menghubungi isteri yang memaklumkan kejadian ini kepada saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Xavier yang bergegas pulang dari persidangan Dewan Undangan Negeri berkata, kejadian itu merupakan yang pertama sejak 21 tahun menetap di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti suspek dalam kejadian itu,” katanya. – Bernama


Hairan bin ajaib… Seorang Exco boleh simpan RM 70 ribu di dalam rumahnya. Kenapa duit tersebut tidak disimpan di dalam bank? Adakah duit RM 70 ribu itu hasil dari rompakan wang rakyat Selangor yang dilakukan dengan cara terhormat?

Adakah wang tersebut telah diisytiharkan? RM 70 ribu bukan sedikit, banyak… Wajarkah seorang Exco mempunyai wang sebanyak itu? Dari mana datangnya wang itu?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) WAJIB menyiasat perkara ini. SPRM perlu siasat mana datangnya wang tersebut. Adakah pendapatan seorang Exco boleh mencecah RM 70 ribu?? Adakah Dr Xavier sudah mengisytiharkan wang tersebut?

Andaikata perkara ini terjadi pada Exco BN, sudah pasti kalangan totok PR mengatakan duit hasil rasuah, duit hasil rompakan wang rakyat… Sekarang ini berlaku pada Exco Pakatan Rakyat… Dari sumber manakah datangnya duit tersebut? Turun dari langitkah? Harta karunkah?