Pemuda UMNO laksana proses pemutihan ahli

PUTRAJAYA 7 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO akan menjalankan proses pemutihan keahlian bagi membersihkan mereka yang telah menyertai parti pembangkang daripada senarai ahli parti.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan sasaran parti untuk menambah keahlian dapat dijalankan dengan lancar.

“Apa yang disebut oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor adalah menjalankan proses pemutihan ahli dulu.

“Jadi siapa yang sudah masuk pembangkang, ini akan dibersih terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Putrajaya berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Motivasi Pelajar 2010 di Sekolah Menengah Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Program melibatkan seramai 300 pelajar dari sekolah menengah sekitar Putrajaya itu dianjurkan oleh Kelab UMNO Luar Negara (Auckland) dan Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Latihan UMNO Putrajaya.

Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah Putrajaya Presint 16 (1), Mohd. Yusof Hassan dan Presiden Kelab UMNO Auckland, Shazana Mohd. Daud.

Sabtu lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, UMNO menyasarkan keahlian kira-kira empat juta orang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Zaki berkata, bagi UMNO Putrajaya, taklimat mengenai proses pemutihan tersebut telah dilakukan semalam oleh Naib Ketua Bahagiannya, Datuk Khairuddin Samad.

“Di samping itu, taklimat juga telah diberikan mengenai program Juara Rakyat bagi bulan Februari yang akan menumpukan kepada tema kebajikan.

“Bulan lalu temanya adalah pendidikan, jadi hari ini saya ucapkan tahniah kepada Biro IT dan Latihan UMNO Putrajaya kerana berjaya melaksanakan program motivasi pelajar,” katanya.

Mengenai dakwaan terdapat krisis kepimpinan dalam Pemuda UMNO, Ahmad Zaki berkata, perkara itu hanya digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam laman blog.

Malahan tegasnya, tidak ada sebarang desakan khusus terhadap Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin agar beliau meletakkan jawatan.

“Yang ada hanya pertukaran pandangan, ada yang pro dan kontra dan ini adalah perkara biasa dalam parti politik.

“Exco Pemuda UMNO, Mohd. Hisamuddin Yahaya yang disebut dalam blog tersebut juga tidak mempunyai masalah kerana dua hari selepas mesyuarat itu beliau bersama Khairy dalam program parti di Labuan, Sabah,” katanya.

Utusan Malaysia

Cadangan pemutihan ahli Pemuda UMNO ini amat aku alu-alukan. Sekurang-kurangnya kita dapat membersihkan pergerakan tersebut dari talam-talam bermuka dua. Apapun aku harap janganlah hanya memangkas pucuk-pucuk muda sahaja. Tetapi terdapat juga akar-akar umbi yang bersifat talam dua muka. Jadi bersikap adillah. Sebaiknya rombak semula Pergerakan Pemuda UMNO kemudian lakukan perlantikan baru bermula dari jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dengan ini Pergerakan Pemuda UMNO akan mendapat semangat baru apabila diterajui ketua baru yang lebih dipercayai dan berkaliber serta bersih dari amalan politik wang.