Datuk Hj Solah Mat Hassan Jawab Isu AES

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya pelantikan pembekal bagi teknologi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Malaysia dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan tanpa menggunakan tender.

Beliau berkata, sistem AES hanya dilaksanakan selepas wakil Kementerian Pengangkutan, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) melawat beberapa negara bagi mendapatkan gambaran dan penilaian keberkesanan sistem itu hampir lapan tahun lalu.

“Antara negara yang dilawati adalah Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Perancis, United Kingdom dan Switzerland yang menggunakan teknologi AES. Lawatan juga dilakukan ke negara China bagi meninjau dan menilai teknologi AES di negara tersebut.

“Hasil lawatan dimaklumkan kepada pihak kerajaan pada Disember 2005 yang seterusnya bersetuju supaya AES dilaksanakan. Satu jawatankuasa pemandu turut ditubuhkan bagi meneliti keperluan pengguna, kaedah perolehan dan pelaksanaan projek dengan dibantu lima jawatankuasa kerja,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Solah berkata, kerajaan pada November 2006 kemudiannya bersetuju untuk mempelawa sembilan buah syarikat yang merupakan peneraju utama dalam pelaksanaan sistem AES di seluruh dunia untuk menyertai tender JPJ(S) T.6/2006: Request For Proposal For The Implementation Of Automated Enforcement System.

Syarikat terbabit adalah Commercial Circle (M) Sdn. Bhd. (A.T.E.S Sdn Bhd) (dengan Robot dari Germany), Beta Tegap Sdn. Bhd. (dengan Redflex dari Australia), Tess Capital Sdn. Bhd. (dengan Poltaich dari Australia); Tricubes Berhad (dengan SAGEM dari Perancis); Precision Hawk eye (M) Sdn. Bhd. (dengan Sianco Traficco dari Sepanyol); Acropolis Avenue Sdn. Bhd. (dari China, Neza Teguh Sdn. Bhd. (dengan Sensys dari Sweden); Tenix Solutions Pte Ltd. ( dengan Tenix dari Australia) dan Hyundai Information Technology Korea.

Jelas beliau, dua syarikat iaitu Hyundai Information Technology Co. Ltd. dan Tenix Solutions Pty Ltd. bagaimanapun tidak mengemukakan cadangan teknikal manakala tujuh pembekal teknologi telah mengemukakan cadangan teknikal melalui wakil syarikat tempatan masing-masing.

Kata beliau, selepas membuat penilaian teknikal, ketujuh-tujuh syarikat berkenaan telah diminta untuk mengadakan ujian iaitu demonstrasi secara langsung di jalan raya Malaysia tetapi hanya enam syarikat menyertai demonstrasi itu manakala satu syarikat menarik diri.

Katanya lagi, demonstrasi keupayaan sebenar sistem yang ditawarkan oleh pembekal teknologi dalam mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju itu mengambil masa lebih sebulan di Putrajaya, Shah Alam dan Lebuhraya Guthrie di Selangor bermula penghujung Jun hingga akhir Julai 2007.

Malah, katanya, sebanyak 43 senario perlanggaran peraturan had laju serta lampu isyarat yang biasa berlaku di jalan raya Malaysia telah diuji dan sebanyak 63, 640 imej telah dikeluarkan hasil ujian berkenaan.

Tambah beliau, kriteria terpenting yang dinilai dalam ujian itu adalah imej yang dirakam berupaya menjadi bahan bukti di mahkamah dan susulan demonstrasi itu, hanya dua pembekal teknologi melepasi kelayakan teknikal yang dinilai jawatankuasa teknikal.

Menurut beliau, kedua-dua pembekal teknologi yang berkelayakan secara teknikal adalah Redflex Traffic Systems Pty Ltd. yang diwakili oleh Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Robot Visual Systems yang diwakili oleh ATES Sdn. Bhd.

Kerajaan selanjutnya pada Februari 2008 bersetuju dengan Laporan Penilaian Teknikal dan kedua-dua syarikat diminta mengemukakan cadangan kewangan, kata Solah lagi.

Kata beliau, selepas beberapa siri rundingan antara kerajaan dan syarikat terbabit, kerajaan pada 9 Disember 2011 menandatangani perjanjian dengan kedua-dua syarikat itu dan sistem AES mula beroperasi di 14 lokasi mulai 23 September 2012.

“Ini bermakna pemilihan dan pelantikan kedua-dua syarikat itu dibuat melalui proses tender dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa malah dibuat secara teliti, telus dan melibatkan pelbagai pihak sehingga mengambil masa yang begitu lama iaitu hampir lapan tahun,” tegasnya. – mynewshub.my

Advertisements