Gangguan Bekalan Air Mulai 11 Malam Ini

KOTA BHARU – Kira-kira 5,000 akaun pengguna bekalan air bersih di sini serta Bachok dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 11 malam ini.

Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) melalui satu kenyataan media memberitahu, masalah itu ekoran operasi di Loji Rawatan Air Chicha akan tergendala buat sementara waktu.

“Operasi loji ini terhenti berikutan kerja kecemasan pencucian telaga air mentah di loji. Gangguan bekalan air dijangka sehingga pukul 4 pagi esok.

“Justeru orang ramai dinasihat supaya menyimpan air mencukupi dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, kawasan yang dijangka terjejas di Kota Bharu termasuk Kampung Tok Ku, Kampung Cherang, Taman Aisyah, Taman Sri Binjai, Taman Sri Permai, Taman Sri Panji, Kampung Lubuk Pukul dan kawasan Sabak.

Manakala antara kawasan di Bachok yang dijangka mengalami gangguan bekalan air bersih adalah Peringat, Perol, Melor, Kok Lanas, Tegayung, Demit dan Panji, kata kenyataan itu lagi. – mynewshub.my

Kepada penduduk yang terlibat. Sila pastikan anda menyimpan air yang mencukupi untuk keperluan anda. Sekiranya ada saudara-mara atau keluarga anda berada dalam kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air, harap segera dimaklumkan kepada mereka untuk kemudahan dan persiapan.