Bahagian 3: Awas!! Bahaya Mazhab Khawarij!

Selain itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan umat Islam atas alasan dosa besar.

Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata:

ومن خرج على إمام من أئمة المسلمين فهو خارجي قد شق عصا المسلمين وخالف الآثار وميتته ميتة جاهلية ولا يحل قتال السلطان ولا الخروج عليه وإن جار وذلك

“Dan sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap para pemerintah umat Islam maka mereka termasuk golongan khawarij. Mereka bertindak memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah. Sekiranya mereka mati, matinya adalah mati jahiliyyah. Tidak boleh mengangkat senjata memberontak (atau memerangi) pemerintah dan tidak boleh keluar dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang jahat.” (Syarhus Sunnah, no. 33)

Para ulama ahlus sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan senjata. Menurut Imam asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam kitabnya al-Milal wa an-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak terhad kepada zaman ketika Khulafa’ al-Rasyidin atau tabi’in semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini sebagaimana kata beliau:

الخوارج والمرجئة والوعيدية كل من خرج عن الإمام الحق الذي اتفقت الجماعة عليه يسمى خارجيا سواء كان الخروج في أيام الصحابة على الأئمة الراشدين أو كان بعدهم على التابعين بإحسان والأئمة في كل زمان

“Al-Khawarij, al-Murji’ah, dan al-Wa’idiyyah digunakan untuk menyebut semua kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah yang sah dan diperakui oleh jama’ah (majoriti) umat Islam. Istilah khawarij digunakan untuk menyebut kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan dan tidak mengakui keabsahan pemerintah yang dilantik sama ada pada zaman para sahabat, khulafa’ur Rasyidin, tabi’in, atau pada masa setelah itu di setiap zaman.” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)

Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca al-Qur’an, tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:

لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة ، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم. والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين

“Para ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya. Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan. Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)

Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:

قد ذكرت من التحذير عن مذاهب الخوارج ما فيه بلاغ لِمن عصمه الله عَزَّ وَجَلَّ الكريم، عن مذهب الخوارج، ولَم ير رأيهم وصبر عَلَى جَوْر الأئمة، وحَيْف الأمراء، ولَم يَخرج عليهم بسيفه، وسأل الله العظيم كشف الظلم عنه، وعن جَميع المسلمين، ودعا للولاة بالصلاح، وحجَّ معهم، وجاهد معهم كل عدو للمسلمين، وصلى خلفهم الجمعة والعيدين، وإن أمروه بطاعتهم فأمكنته طاعتهم أطاعهم، ولِمن لَم يُمكنه اعتذر إليهم، وإن أمروه بِمعصية لَم يطعهم، وإذا دارت بينهم الفتن لزم بيته، وكفَّ لسانه ويده، ولَم يَهو ما هُم فيه، ولَم يُعن عَلَى فتنته، فمن كَانَ هذا وصفه كَانَ عَلَى الطريق المستقيم إن شاء الله تعالَى

“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan tidak supaya berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang). Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)

Bersambung…