Bukan perlekeh tapi sikap Pas mudah melatah

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA KRAI 1 Julai – “Pemborong ikan dan tiada pendidikan tinggi”. Jangan sebut perkataan ini di Manek Urai kerana anda mungkin dianggap menghina!

Segalanya bermula apabila akhbar ini melaporkan Pas mungkin memilih seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Laporan itu dibuat sehari sebelum Pas secara rasminya mengumumkan Mohd. Fauzi Abdullah, 50, yang lebih mesra disapa Abe Uji sebagai calonnya.

Tiga hari kemudian, ia makin menjadi hangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mengulangi kejutan 2004.

Tuan Aziz sebelum ini seorang Pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Muhyiddin menyatakan “Calon kita bukan pemborong ikan” sewaktu memperkenalkan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Lantaran itu, Pas dalam ceramahnya menjaja tuduhan bahawa BN telah menghina ‘pemborong ikan’ calonnya lulusan sekolah rendah dan pondok.

Ia semakin memuncak apabila Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan dituduh merendahkan Mohd. Fauzi apabila menyebutnya sebagai peraih ikan dalam satu ceramah.

Berikutan itu petang Jumaat lalu, kira-kira 200 ahli Persatuan Pemborong dan Peniaga Ikan berhimpun di Pasar Laloh untuk menyatakan bantahan.

Perhimpunan itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu kerap berada di Manek Urai – satu senario berbeza sewaktu Pas mendepani mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini.

Bagi Pas, jangan samakan peraih dengan pemborong ikan. Ahmad pula dalam reaksi balas berkata, bantahan bahawa Mohd. Fauzi bukan peraih tetapi pemborong dengan sendirinya menunjukkan parti itu merendahkan peraih.

“Eloklah mereka bantah, bagi saya usahawan, pemborong, peraih peniaga dan tauke membawa maksud yang sama. Saya tiada niat memperlekehkan siapa,” tegasnya.

Sementara itu, Muhyiddin sewaktu berceramah di kubu kuat Pas, Kampung Manek Urai Lama yang juga kejiranan Allahyarham Ismail Yaakob menegaskan beliau tidak pernah berniat merendahkan Mohd. Fauzi.

“Bila saya perkecil penjual ikan? Saya dulu Menteri Pertanian, saya memang jaga penggerak industri perikanan, baik nelayan, penternak mahupun penjual ikan, mereka ada peranan.

“Saya cuma sebut calon kita bukan penjual ikan, betul tak? Itu saja… bukan kita perkecilkan malah kita hormat dia, orang sini pun kenal dia,” katanya.

Itulah faktanya. Rakyat di Manek Urai mengenali siapa Mohd. Fauzi – dengan identiti seorang pemborong ikan yang berjaya dan disegani malah dikatakan mampu memegang stereng kereta mewah buatan Jerman.

Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed turut mengakui calon Pas itu adalah peniaga yang berjaya dalam satu sidang akhbarnya.

Menjadi persoalan, kenapa Pas begitu melatah hanya kerana isu pemborong ikan dan adakah Pas yang sebenarnya beranggapan karier itu rendah martabatnya?

Pas turut mempamerkan sikap terlebih sensitif apabila pemimpin BN membandingkan tahap pendidikan kedua-dua calon. Kata mereka, itu juga merendahkan Mohd. Fauzi.

Sebenarnya tiada apa yang perlu digusarkan kerana sejarah menunjukkan parti itu tidak pernah mempertaruhkan calon berpendidikan tinggi di DUN Manek Urai kecuali Datuk Ariffin Said pada 1982.

Itupun, Pas hanya tewas sekali sahaja ditangan BN pada 2004 sebelum merampasnya semula tahun lalu.

Mengulas mengenainya, Muhyiddin berkata Islam sendiri amat menitikberatkan ilmu pengetahuan sambil memetik sepotong ayat yang antaranya bermaksud:

“Katakanlah oleh mu wahai Muhammad, adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu.”

Malah Mohd. Fauzi juga tidak menolak bahawa mempunyai ilmu yang tinggi adalah lebih baik.

Jika tidak apa perlunya anak sulungnya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM)?

PAS, biasalah suka mereka-reka cerita dan pandai mencipta fitnah. Itulah konsep Menghalalkan Cara yang mereka agung-agungkan. Konsep Menghalalkan Cara ini agak berbeza dengan konsep 1 Malaysia yang canang oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Jika konsep 1 Malaysia lebih banyak mesra kepada rakyat, konsep Menghalalkan Cara pula lebih kepada mesra kepada dosa dan mungkar. Bagi PAS tak kisah nak tabur se-kontena fitnah dan se-kapal mana hasutan, bagi mereka itu bukan satu dosa. Ye lah bagi mereka, memfitnah BN tak menjadi satu dosa sebab BN musuh mereka. Inilah sikap PAS, hasil didikan dan asuhan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang kononnya memperjuangkan Islam, tapi pada masa yang sama menimbun-nimbunkan lagi dosa. Ditambah lagi dengan dosa menghasut pengikut-pengikut mereka melakukan rusuhan. PAS akan gunakan pelbagai cara untuk menang, termasuklah menjual maruah Agama Islam. PAS sanggup, sekiranya ditawarkan oleh DAP dan PKR untuk berbuat demikian.