Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KUALA KRAI 4 Julai – Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat tentang Islam adalah strategi mengalih perhatian penyokong Pas terhadap kesilapannya membuat keputusan berkenaan cadangan kerajaan perpaduan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat baik dan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Namun, jelasnya, tentangan keras Nik Abdul Aziz termasuk mendesak Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meletak jawatan menyebabkan banyak pihak dalam Pas sendiri kecewa.

Katanya, debat yang dicadangkan itu sepatutnya dibuat dengan pemimpin DAP yang secara jelas menolak dasar-dasar Islam di negara ini.

“Tentunya sebagai seorang tokoh politik dan agama, orang harap apa yang keluar dari mulut beliau (Nik Abdul Aziz) boleh menyenangkan hati semua pihak tetapi nampak jelas bahawa ia tidak lebih daripada politik semata-mata.

“Jadi saya berpendapat beliau nak tutup tindakannya yang terlanjur sebelum itu iaitu cara dia menolak pertemuan antara UMNO dengan Abdul Hadi maka dia cetuskan cadangan berdebat dengan UMNO,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan ceramah bebas di Laloh, Manek Urai di sini semalam.

Ibrahim berkata, adalah lebih relevan jika Nik Abdul Aziz berdebat dengan Karpal Singh dan DAP yang menolak Islam sedangkan Pas berjuang untuk menegakkan ajaran Islam.

Jelasnya, banyak perkara mengenai dasar DAP di negara ini terbukti membelakangkan Pas meskipun kedua-dua parti itu bekerjasama dalam pakatan pembangkang.

“Eloklah Nik Abdul Aziz berdebat dengan Karpal Singh yang pernah menyatakan langkah mayat dia dulu masa Pas nak tubuh negara Islam.

“Kita lihat di Kedah sendiri pun, isu kecil mengenai pusat penyembelihan babi pun mereka tak boleh terima walaupun atas kepentingan ramai. Banyak lagi perkara yang kita lihat sebelum ini DAP membelakangi dasar perjuangan Pas,” tegas beliau.

Ibrahim menambah, sekiranya Nik Abdul Aziz ingin meneruskan niatnya berdebat dengan Perdana Menteri, biarlah ia menjurus kepada rancangan pembangunan Kelantan.

Sumber: Utusan Malaysia

Hummm… Tak payah bagitau pun kitaorang dah tau. Nik Aziz tu memang macam tu, nanti bila Datuk Seri Najib setuju nak debat, nanti Nik Aziz cuba cari alasan untuk mengelak pula.