Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 4 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas DAP Kedah kerana didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri selain bertindak seolah-olah hanya parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina di negeri ini.

Malah, beliau membayangkan tindakan pemimpin DAP itu berkemungkinan sengaja mahu mencetuskan isu perkauman di samping menimbulkan perasaan kebencian pelbagai kaum terhadap beliau sebagai ketua kerajaan negeri.

Katanya, dakwaan DAP Kedah menerusi pengerusinya, Thomas Su bahawa kerajaan negeri merancang merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenainya.

“Saya tidak kata fitnah, tapi rakyat boleh menilainya. Saya sebagai Menteri Besar Kedah sendiri tidak tahu, Setiausaha Kerajaan Negeri tidak tahu. Tiba-tiba dia boleh beritahu kepada orang.

“Mungkin lagi satu dia nak cetuskan bagi kebencian pelbagai kaum kepada saya, mungkinlah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Siswa Diploma Kelas 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini hari ini.

Menteri Besar mengulas dakwaan Thomas semalam bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang pimpinan Pas bukan saja merobohkan pusat penyembelihan babi tetapi merancang untuk merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina.

Dalam pada itu, ditanya adakah dakwaan dan tindakan DAP Kedah itu kerana sengaja hendak menimbulkan isu perkauman, Azizan berkata:

“Mungkin juga, berkemungkinan. Sedangkan DAP mengatakan dia berjuang bukan untuk satu puak (tetapi untuk) semua rakyat Malaysia. Jadi tindakan dia kali ini nampaknya berlainan dengan dasar dia.”

Azizan turut mengingatkan DAP supaya tidak berasakan parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina tetapi parti-parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan Gerakan turut mewakili kaum tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak isu mengenai DAP Kedah keluar pakatan pembangkang di negeri ini diperkatakan Rabu lalu, pihaknya belum menemui kepimpinan parti berkenaan dan hanya mengetahui perkembangannya menerusi laporan media.

Azizan menambah beliau juga tidak tahu mengenai wakil tunggal DAP di negeri ini, Lee Guak Aik mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkecuali kerana tiada sebarang mesyuarat antara mereka diadakan setakat ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Hai Azizan baru tersedar dari buaian mimpi indah pabila tidur sebantal dengan DAP. Setelah kentut DAP yang berbau seperti telur tembelang itu terburai keluar. Takkan sekarang baru sedar kot? Kenapa dari awal tak sedar?

Advertisements